KERETA SEWA SERI KEMBANGAN: FARM IN THE CITY
SEPANDUK kecil yang tertulis Farm In The City menarik perhatian saya setiap kali melalui jalan dari Serdang ke Taman Equine, Seri Kembangan. Tambahan pula sepanduk tersebut disertai gambar haiwan-haiwan seperti di zoo.
Akhirnya, pada hujung minggu lalu, saya mengajak rakan menemani saya untuk mencari lokasi tersebut. Lokasinya terletak di Jalan Prima Tropika Barat, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor. Rupa-rupanya, Farm In The City terletak di belakang bangunan Giant Taman Equine.
Setelah membayar tiket sebanyak RM28 seorang (harga sebenar adalah RM48 tetapi mendapat diskaun sebagai pemegang kad Jaya Jusco), kami pun memulakan langkah menuju ke kandang berdekatan.
Ketika mula-mula memasuki kawasan tersebut, kami tersenyum kerana kami disambut oleh seekor kura-kura gergasi yang sedang memandang ke arah kami. Kura-kura tersebut sangat bersih, manakala cengkerangnya sangat berkilat seperti baru kena polish!
Kami diberi peluang memberi makan kepada kura-kura tersebut. Kedengaran bunyi keranggupan sayur kangkung yang dikunyah oleh haiwan itu.
Awalnya kami didedahkan dengan pelbagai jenis haiwan berdarah sejuk dari kumpulan kura-kura, penyu, ular dan buaya kecil. Ada haiwan yang diletakkan di dalam bilik berkaca dan ada dilepaskan di sekitar taman.
Pengalaman yang tidak dilupakan adalah apabila kami mencari di mana ular sawa bersembunyi, rupa-rupanya ular tersebut sedang tidur berlingkar di atas kami! Jangan bimbang, ular itu tidur di atas kaca yang tebal.
Kami teruja memasuki tempat yang dipenuhi dengan pelbagai spesies burung yang kami sendiri tidak pernah melihatnya. Semua burung di sini lepas bebas.
Kenangan seekor burung besar berbulu hijau yang sanggup bertenggek di atas tangan saya semata-mata hendak mengambil sepotong kecil buah pisang di dalam genggaman lalu terbang tidak dapat dilupakan.
Rusa-rusa di sini pula kelihatan manja dan tidak takutkan pengunjung yang datang. Sesiapa sahaja yang memegang kangkung, rusa ini akan datang kepadanya untuk mendapatkan sayur itu.
Kemudahan sinki beserta sabun disediakan di sekitar kebun ini, jadi kami tidak berasa risau jika tangan kami kotor ketika memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut.
Kami seronok melihat ikan, itik, bangau dan angsa yang berlumba-lumba berebut makanan yang dicampak oleh pengunjung.
Sesuai dengan konsep kebun, beberapa jenis tumbuh-tumbuhan ditanam serta diletakkan label nama tumbuh-tumbuhan tersebut sebagai pengetahuan kepada para pengunjung. Jadi, jangan terkejut jika ternampak 'orang-orang' di situ.
Setelah penat berjalan, kami berehat sebentar di sebuah taman permainan yang berkonsep tradisional. Buaian diikat pada pokok besar, jongkang-jongkit serta gelongsor yang diperbuat daripada kayu mengimbau kenangan ketika kecil dahulu.
Kami juga tertarik melihat kandang arnab, selain tidak menyangka berpeluang melihat marmoset sedekat itu.
Bukan itu sahaja, kami merasa terpegun melihat kelincahan haiwan mamalia kecil seperti rakun, merkat, landak, black tailed prarie dog dan lain-lain.
Kepenatan menyelusuri kebun dengan disimbah terik mentari dirasakan amat berbaloi dan kami berpuas hati kerana berpeluang menyentuh beberapa haiwan serta memberi makan tanpa dikenakan bayaran tambahan.
Setelah hampir tiga jam di sana, kami pun pulang dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kami merancang untuk mengunjungi lagi tempat ini suatu hari nanti.
- NURDILLA ZAINI, UPM
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130921/pl_01/Terokai-Farm-In-The-City#ixzz433Y79Oj8